Zainal Buang Hussein
Cartoon's Illustration
Cartoon's Illustration
Aug 1st
Akhirnya…aku hampir sampai ke penghujung hidupku sebagai seorang karyawan. Segalanya semakin lemah dan perlahan. Lebih seronok menghitung saat dari hari. Bertasbih setiap kali kesakitan mencucuk di hati.
Untuk mengangkat mata pena terasa lebih berat. Untuk melorek berus dan mencoret warna terasa amat malas. Penuh dengan tanda soal yang tidak terjawab. Walaupun sentiasa yakin setiap yang kita lakukan akan bermakna kealpaan melingkari mata dan telinga, sentiasa.
Apalagi mengenang teman-teman seperjuangan yang sudah gugur bagaikan kelkatu. Sayapnya bertaburan di bumi, badannya entah ke mana membuatkan aku merenung lembayung senja penuh saksama. Menanti saat mati yang tidak kunjung tiba.
Akhirnya…aku merakul usia 55 penuh keinsafan. Tiada apalagi yang dapat aku wariskan melainkan catatan dan goresan sebagai menyudah terhadap apa yang pernah aku mulakan suatu masa dahulu. Datang dengan tiada apa. Pulang juga tidak seberapa.
Walau apapun kesudahannya, aku bersyukur kehidrat Illahi. Mengharungi hidup ini penuh kelazatan dan kenikmatan yang tidak terkira sebagai seniman picisan di negara bertuah. Tiada duanya di mana-mana.
Andainya aku pergi dalam lingkaran waktu terdekat ini, aku redha. Allah telah memberikan segala-galanya yang berdetik dalam hati. Bagaikan diatur. Disusun begitu cantik dan rapi. Sudah tidak ada cacat-celanya lagi. Penuh keindahan dan kegemilangan nan tak terperi.
Untuk sahabat handai, terima kasih tidak terkira. Siapalah saya tanpa anda semua. Andalah penyeri hidup saya membuatkan hidup ini lebih bermakna dan bahagia.
Andainya aku pergi dulu, taburkanlah bunga mawar di pusara. Sebagai tanda pernah lahir di negara ini, seorang seniman seni, lahirnya tidak dipinta, perginya tidak disuruh. ALFATIHAH juga yang ku damba. Amin.
Nota kaki:
Selepas baca nota ini, tolong nyanyikan lagu “Mawar Merah” oleh Alleycar sekuat hati. He! He! He!
Jul 13th
Setiap kali nak buat posting kat blog banyak kali kena teneng-teneng dulu. Kadang tu bila kerap sangat teneng, berputar kepala dibuatnya.
Tapi tiba-tiba dapat anugerah maya, berputar ligat kepala jadinya. Mana tidaknya, baru aje belajar blogging, ada pembaca bagi anugerah kat blog dia. Hehehe…! Tak percaya kena percaya juga. Dari 10 orang, aku disenaraikan di tempat ketiga. Kira okay tu…!!
3) Zainal Buang Hussein
He has contributed so much for the progress of cartoonist in Malaysia. His sense of humour underlying his social criticsm has been his trade mark.
Maka sebagai komen aku di dalam blognya…..tak apalah, tak payah baca la! Cuma janji nak hadiahkan dia satu caricature wajahnya. Ni tengah teneng lagi macam mana nak lukis wajah dia tanpa gambar. Kekeke….!
Ni jawapan dia pulak komen aku di blog dia tu!
@Zainal Buang Hussein
Waalaikumussalam.Sdr selayaknya menerima award ini. Dan umi amat berbangga sekali dapat memberikannya…sesuatu yang tidak pernah umi terbayangkan.Tahniah.Saudara boleh selanjutnya memberikan kepada rakan blogger yang lain.Copy paste award ini ke blog saudara jika tidak keberatan
Wah amat beruntung sekali umi mendapat caricature dari saudara.Terima kasih yang tak terhingga.Umi harap sdr sudi add umi di facebook Umihoney Azizan.
Wasallam.
Jadi atas permintaan saudari Umi itu maka aku copy paste anugerah maya itu.
Sebagai penghargaan dari aku pulak sebelum siap caricature yang dijanjikan itu, di sini aku upload sebahagian daripada komik aku untuk sama-sama kita teneng-teneng dan gelak-ketawa sikit….!!!
Akhir kata, terima kasih saudari Umihoney. Saya terima award dari Umi itu.
Jun 26th
Seorang teman bertanya; “Andainya engkau serba mampu, kenderaan macam manakah yang ingin kau miliki?”
Jawapannya amaka sukar. Pertama sekali kerana aku sendiri serba tak mampu. Kalau mampu pun, banyak perkara lain yang ingin aku buat.
Aku mahu mengembangkan perniagaan sebesar-besar yang boleh. Mengembangkan industri senilukis seluas-luas yang mungkin. Buat kebajikan sebanyak-banyak yang mampu. Dan beribadat dengan sebaik-baiknya.
Tetapi soalnya, sekiarnya mampu dan menurut citarasa, itu yang membuat kita pening kepala. Kerana kenderaan-kenderaan kini semuanya menarik perhatian aku, walaupun buruk, kecil dan mungkin orang lain tidak mahu.
Namun, dalam diam-diam aku ‘fikirkan’ juga pertanyaan teman itu. Mengiri-ngira dan menimbang-nimbang kenderaan yang bakal aku miliki dan nikmati. Banyak mana jumlahnya tidak terhad. Ini kerana aku dikatakan ‘mampu’.
Dalam bermenung-menung dan mencoreng-coreng itu, aku ambil keputusan begini. Andainya mampu; pertama, aku mahu miliki sebuah jet mewah. Ini untuk memudahkan aku terbang ke sana ke mari. Kedua, aku mahu sebuah helikopter. Ini pula untuk memudahkan aku pulang ke kampung dan menziarahi kawan senegeri. Lagi satu, sebuah bot mewah untuk membawa keluarga bercuti sambil menghirup udara laut.
Tetapi teman itu protes. Dia mahu aku pilih kereta motor saja. Aku termenung, lagi panjang. Terlalu banyak kereta motor yang aku minati. Boleh dikatakan semua yang bertayar dan berenjin aku minat.
Fikir punya fikir, aku terpaksa pilih juga. Andainya mampu, aku akan beli Lamborghini Diablo. Jangan tanya kerana apa, cuma pada pendapat aku ia lebih ganas dari Lamborghini Countach. Kedua, aku pilih Ferrari, tidak kira yang mana satu, asalkan Ferrari. Ini aku pilih kerana legendanya. Ketiga, aku pilih Porche 911 untuk eseng-eseng. Model ini cukup anggun dan menawan, walaupun sudah lama dikeluarkan.
Atau lain dari itu, aku pilih Honda NSX dan Nissan 300ZX Turbo. Molek sekali untuk berulang-alik ke tempat kerja. Kalau kategori limusin, aku pilih Mercedes 300SE dan Jaguar. Nampak gah untuk urusan perniagaan.
Untuk pulang ke kampung, aku pilih Toyota Estima. Cukup selesa untuk membawa anak-anak bercuti dan mengembara. Tidak ketinggalan juga sebuah kenderaan pacuan empat roda yang serba guna. Bahagian ini aku aku pilih Range Rover 4.6 SE.
Untuk kelas kereta padat, aku pilih Proton. Kalau tidak nanti dia orang kata tidak patriotik. Kalau kereta kecil, tentu saja Suzuki Swift. Ke bawah dari itu, aku kena tengok katalog kereta-kereta kecil terbaru dari Jepun.
Bagi motosikal pula, aku akan beli Ducati, BMW, Kawasaki ZZR11, Suzuki Intruder, Yamaha FZR dan Harley-Davidson Sportster. Itupun baru pilihan secara rambang. Kalau betul-betul mungkin banyak lagi. Sampaikan boleh buat bilik pameran sendiri. Malah mungkin juga muzium Zainal Buang! Hehehe…!
Jun 24th
Sape kata dia tak minat kereta ni memang dia tak mampu! Aku minat. Tapi aku pun tak mampu juga! Mampu lukis dah kira cukup baik la tu…!!! Hehehe…!
Jual satu painting seratus ribu…10 painting dah satu juta…bolehlah melaram dengan kereta idaman ni…!
Kalau sesiapa minat nak tempah, sila hubungi segera sebelum kehabisan stok! Painting ini lebih laris daripada goreng pisang panas! Cepat….cepat!!! Lelong….satu keping dua ratus ribu…hehehe!
Jun 16th

Bapak-bapak menteri…kena potong gaji. Waaaaaaa, Bapak-bapak koprat gigit la jari. Saham jatuh, jatuh, jatuh terus jatuh. Harga barang menucang-nucang…
Ke mana la orang macam aku nak lari?
Taukey kedai buku mengeluh. Pengedar buku dan majalah turut berwajah keruh. Pencetak dan penerbit apa la lagi. Muka masam. Semua kerja tak menjadi. Aduhhhhh.
Sana rugi, sini rugi. Sana jatuh. Sini berdentum. Apa la la sudah nak jadi?
Kemanalah orang macam aku nak lari?
Bapak-bapak di bank pun sudah bermuka teduh. Tidak ramah dan ceria seperti biasa. Waaaaaa.
Sudah tentu susah mahu pinjam dari ceti. Gadai barang pun kita boleh rugi. Pinjam lintah darat, lagi la kita mati sebelum mati.
Ke mana lagi kita mahu lari….!?
Waaaaa. Tolong beli la lukisan kami. Tolong beli la lukisan kami. Tidak kira la untuk penghias tandas atau garaj. Boleh juga buat pelepas la sosak.
Waaaa. Atau beli la buku lawak ini banyak-banyak. Boleh buat pelipur lara. Kalau tidak boleh ketawa, buat sengkang la mata.
Percuma? Nangis. Aku mahu nangis. Betul-betul punya nangis. Biar keluar air mata satu baldi….
Tetapi, ke mana kita mau lari….??
Hadapi la. Tantang la. Biar pun kita telah dibunuh beribu kali.
Apa mahu buat?
Kita mahu hidup seribu tahun lagi! Ya!
Apa mahu buat??
….Bulat-bulat. Kita sorong dia dapat. Dia sorong kita pula melarat. Waaaaa!
Aku di sini, di sini dan tetap di sini…Aku sudah tidak boleh lari lagi!!
Jun 10th
Artikel dipetik dari Wikipedia
Zainal Buang Hussein adalah diantara pelopor kumpulan CESB yang menerbitkan majalah Gila-Gila. Hasil karyanya boleh dilihat di dada majalah tersebut dan beliaulah yang banyak menghasilkan hiasan ilustrasi kulit majalah di awal pembabitan beliau dengan majalah itu.
Beliau turut menghasilkan kartun KUTU untuk akhbar Utusan Malaysia secara bersiri, untuk beberapa tahun dan akhirnya menjadi kompilasi terbaik beliau. Selain daripada menjadi ilustrator dan kartunis, Zainal Buang Hussin turut aktif didalam PEKARTUN, sebagai Presidennya. Beliau juga telah menghasilkan beberapa buah novel kreatif.
Recent Comments