Cartoon's Illustration

Cartoon's Illustration


  • Category Archives Sembang
  • Kemajuan Pengaruhi Fikiran

    Rencana dari kolum 'Ekzos' majalah SENSASI April 1993.

    Ketika sedang selongkar majalah-majalah lama malam tadi, terjumpa pula majalah kereta/motor ‘SENSASI’ Bil.19 Vol:3 keluaran April 1993 terbitan Creative Enterprise Sdn Bhd (CESB).

    Atas minat saya pada dunia permotoran dan kereta/motor, maka pada tahun 1988 tercetus ilham untuk saya menerbitkan majalah kereta/motor. Pada masa itu memang belum ada majalah kereta/motor berbahasa Melayu. Sasaran saya ialah peminat-peminat kereta/motor Melayu di seluruh tanah air.

    Maka pada bulan Ogos 1988 lahirlah majalah kereta/motor SENSASI yang pertama di bawah Penerbitan Bayan, berpejabat di Bangunan UDA, Jalan Pantai Bharu, K. Lumpur. Sebelum itu, pejabat tersebut beroperasi menerbitkan majalah kartun GILA-GILA. Tetapi saya ambil-alih selepas CESB berpindah ke bangunan baru di Bangsa Utama.

    Dibantu oleh seorang kerani, Siti Hawa Paiman, seorang pelukis grafik, Rosli Abd. Hamid dan tiga orang penyumbang rencana, Sazili Yusof bertindak selaku Editor Teknik, Banni Ali selaku Editor Bersekutu dan Elias Hj. Idris sebagai khas, maka SENSASI Bil.1 berjaya menemui peminat-peminat kereta/motor di seluruh tanah air pada bilan Ogos 1988.

    Nanti kita sambung balik kisah-kisah di Jalan Pantai Bharu itu. Sekarang saya ingin kongsikan rencana saya ‘Ekzos’ dalam SENSASI yang saya temui malam tadi.

    Tajuk rencana, ‘Kemajuan Pengaruhi Fikiran’.

    REMAJA kini merupakan golongan beruntung. Kemajuan ekonomi dan perdagangan negara mempengaruhi cara hidup dan pemikiran mereka. Mereka mempunyai banyak peluang untuk menikmati jentera dan barangan berteknologi canggih. Peubahan besar ini membawa hikmat yang bukan sedikit.

    Tidak seperti penulis dulu. Duduk terperosok di kampung. Mandi air telaga, api guna pelita. Pagi butan kena mandi dengan yang bukan main sejuknya. Menggigil-gigil sampai bibir kebiru-biruan dibuatnya. Ketika membaca buku atau al-Quran di waktu malam, lubang hidup naik hitam dek jelaga. Mata pula terkunang-kunang bantai mengantuk semacam.

    Hiburan boleh dikatakan tak ada. Paling hebat cuma radio kayu dengan suara serak-serak basah. Ataupun paling canggih, alat pemutar piring hitam yang serombongnya sebesar belalai gajah. Yang berpusing menginsut-insut. Hidup segan mati tak mahu.

    Sesekali bila hujung bulan, turun ke bandar tengok wayang cerita Melayu. Itupun setelah habis jual getah keping, getah sekerap, ayam dan telur di reban.

    Mahu ke bandar bukan main perit. Kalau tidak jalan kaki kena naik basikal. Bas dan teksi sapu setahun satu baru jumpa.Basikal pula bukan ringan macam sekarang yang boleh angkat pakai jari telunjuk. Punyalah besar, punyalah berat, kalau terhempap pada budak dua tiga tahun umurnya, mahu demam tak kebah.

    Paling hebat pun tengok trak askar British dan kereta kebal. Mereka gemar sangat berkhemah di hujung kampung. Kita orang suka sakan kalau kereta kebal dia orang yang beroda besi itu terbenam di tanah gambut. Berkampung mereka berminggu-minggu dibuatnya. Kenyang budak-budak kampung makan makanan dalam tin yang diimport dan rokok. Bergaya sakan.

    Bila api eletrik masuk kampung, barangan eletrik mula berkembang biak. Tetapi ketika itu tidak semua orang yang mampu. Mahu menekan suis radio atau TV pun terketar-ketar. Takut meletup.

    Tetapi sekarang lain. Anak muda boleh rasa segalanya. Basikal kecil pun harga sampai beribu ringgit. Itu belum bermacam-macam permainan komputer dan video. Keret-kereta mainan pula boleh jalan sendiri dan dikawal dari jauh. Tidak payah tolak-tolak sodok tanah macam dulu. Sekarang segalanya mudah, cepat didapati dan menyeronokkan.

    Bila sudah jemu boleh kebas kereta emak bapa, abang atau kakak. Motosikal pun begitu juga. Berderum ke sana, berderum ke sini. Tidak payah lagi bayar cukai jalan, ansuran bulanan dan insurans. Bahagia semedang. Bila menghenjut, tahu sajalah anak muda, pedal minyak tentu rapat habis sampai ke lantai. Nasib baik lantai besi. Kalau tidak main brek dengan kaki.

    Lihat saja pemuda belasah tahun memandu kereta dan motosikal. Kalau motor kapcai, boleh celah sampai lubang cacing. Kalau van dengan kereta tidak usah ceritalah. Terbang duduk bukan perangai burung puyuh saja.

    Sebab itulah gamaknya di negara-negara terlalu maju serba-serbi, insurans kereta motor untuk remaja mahal. Lebih mahal dari kaum veteran punya. Sebabnya mudah, anak muda memang tidak sayang nyawa. Tapi orang tua atau warga tua takut mati. Harta banyak weh! – Zainal Buang Hussein.

    Itulah coretan rencana dari majalah SENSASI yang temui sebagai renungan kita bersama. Insya-Allah terjumpa keluaran lain nanti, saya akan kongsikan dengan kalian semua.

    Share on Facebook

    Share

  • Blog Dah Naik Cendawan

    Pagi-pagi lagi kawan dah buat lawak bagitahu blog saya dah naik cendawan. Bukan main beriya-iya lagi dia. Bukan takat cendawan aje yang dah tumbuh….bahkan dah berkulat..dah naik berlumut, katanya.

    Bila dah kena tergur gitu….terpaksalah jenguk juga kat sini. Kutip mana-mana cendawan yang boleh makan dan bersihkan lumut-lumut yang dah mula bertempek…hehehe! Kejap lagi nak masak sup cendawan lak! Sapa teringin nak rasa….cubalah tinjau-tinjau warung kat rumah tu….kalau ada jual kat situ….makan aje…! Cendawan yang saya kutip ni tak cukup nak kongsi…!!!

    Bebenornya bukan tak nak tulis kat blog ni…cuma kekok sikit bila petik dengan hujung jari. Bimbang juga kot-kot hujung jari ni jadi bengkak….dah tak boleh melukis pulak!! Kalau boleh menulis dengan pen…hari-hari nak nulis kat blog nie!

    Sejak badan dah beransur sihat nie…nanti bolehlah mula kerap menulis. Terima kasih pada kawan-kawan yang hantar ucapan selamat jadi dalam facebook tempoh hari. Maaf tak sempat nak jawab. Masa tu badan tua nie dah terasa sakit-sakit sendi…nafas pun dah mula naik sesak…kalau itu takdirnya….memang dah bersedia.

    Ajal maut Dia yang menentukan! Kita sebagai umat yang kerdil hanya terima aje…! Tapi bila umur dipanjangkan…terpaksa juga soru…nantikan jatuh sakit. Kos nak soru pun dah naik mendadak. Lukisan tak juga laku! Ada yang tempah lukis pun liat nak bayar!

    Ingat hati tu nak cuba jual komik-komik lama kat internet nie! Manalah tau sape-sape berhajat nak simpan buat kenangan…bolehlah beli. Kot nanti bila saya dah tak ada…dengar kata mezium nak ambil!

    Jadi sebelum mezium ambil…baiklah saudara-saudari beli. Boleh juga bantu kartunis tua nie sambung hidup. Boleh hasilkan lagi karya-karya baru…itu nanti mezium boleh ambil! Tapi kalau ada sape-sape nak beli… tolong bayar lebih sikit. Bolehlah nanti saya buat amal jariah kat rumah anak-anak yatim…atau kat rumah orang tua!

    Sama-samalah kita bantu mambantu sebelum…..!!!

    Share on Facebook

    Share

  • Andainya Serba Mampu

    Seorang teman bertanya; “Andainya engkau serba mampu, kenderaan macam manakah yang ingin kau miliki?”

    Jawapannya amaka sukar. Pertama sekali kerana aku sendiri serba tak mampu. Kalau mampu pun, banyak perkara lain yang ingin aku buat.

    Aku mahu mengembangkan perniagaan sebesar-besar yang boleh. Mengembangkan industri senilukis seluas-luas yang mungkin. Buat kebajikan sebanyak-banyak yang mampu. Dan beribadat dengan sebaik-baiknya.

    Tetapi soalnya, sekiarnya mampu dan menurut citarasa, itu yang membuat kita pening kepala. Kerana kenderaan-kenderaan kini semuanya menarik perhatian aku, walaupun buruk, kecil dan mungkin orang lain tidak mahu.

    Namun, dalam diam-diam aku ‘fikirkan’ juga pertanyaan teman itu. Mengiri-ngira dan menimbang-nimbang kenderaan yang bakal aku miliki dan nikmati. Banyak mana jumlahnya tidak terhad. Ini kerana aku dikatakan ‘mampu’.

    Dalam bermenung-menung dan mencoreng-coreng itu, aku ambil keputusan begini. Andainya mampu; pertama, aku mahu miliki sebuah jet mewah. Ini untuk memudahkan aku terbang ke sana ke mari. Kedua, aku mahu sebuah helikopter. Ini pula untuk memudahkan aku pulang ke kampung dan menziarahi kawan senegeri. Lagi satu, sebuah bot mewah untuk membawa keluarga bercuti sambil menghirup udara laut.

    Tetapi teman itu protes. Dia mahu aku pilih kereta motor saja. Aku termenung, lagi panjang. Terlalu banyak kereta motor yang aku minati. Boleh dikatakan semua yang bertayar dan berenjin aku minat.

    Fikir punya fikir, aku terpaksa pilih juga. Andainya mampu, aku akan beli Lamborghini Diablo. Jangan tanya kerana apa, cuma pada pendapat aku ia lebih ganas dari Lamborghini Countach. Kedua, aku pilih Ferrari, tidak kira yang mana satu, asalkan Ferrari. Ini aku pilih kerana legendanya. Ketiga, aku pilih Porche 911 untuk eseng-eseng. Model ini cukup anggun dan menawan, walaupun sudah lama dikeluarkan.

    Atau lain dari itu, aku pilih Honda NSX dan Nissan 300ZX Turbo. Molek sekali untuk berulang-alik ke tempat kerja. Kalau kategori limusin, aku pilih Mercedes 300SE dan Jaguar. Nampak gah untuk urusan perniagaan.

    Untuk pulang ke kampung, aku pilih Toyota Estima. Cukup selesa untuk membawa anak-anak bercuti dan mengembara. Tidak ketinggalan juga sebuah kenderaan pacuan empat roda yang serba guna. Bahagian ini aku aku pilih Range Rover 4.6 SE.

    Untuk kelas kereta padat, aku pilih Proton. Kalau tidak nanti dia orang kata tidak patriotik. Kalau kereta kecil, tentu saja Suzuki Swift. Ke bawah dari itu, aku kena tengok katalog kereta-kereta kecil terbaru dari Jepun.

    Bagi motosikal pula, aku akan beli Ducati, BMW, Kawasaki ZZR11, Suzuki Intruder, Yamaha FZR dan Harley-Davidson Sportster. Itupun baru pilihan secara rambang. Kalau betul-betul mungkin banyak lagi. Sampaikan boleh buat bilik pameran sendiri. Malah mungkin juga muzium Zainal Buang! Hehehe…!

    Share on Facebook

    Share



©2012 Zainal Buang Hussein Entries (RSS) and Comments (RSS)  Raindrops Theme  
You are using the BNS Add Widget plugin! Thank You!