Atas minat saya pada dunia permotoran dan kereta/motor, maka pada tahun 1988 tercetus ilham untuk saya menerbitkan majalah kereta/motor. Pada masa itu memang belum ada majalah kereta/motor berbahasa Melayu. Sasaran saya ialah peminat-peminat kereta/motor Melayu di seluruh tanah air.
Maka pada bulan Ogos 1988 lahirlah majalah kereta/motor SENSASI yang pertama di bawah Penerbitan Bayan, berpejabat di Bangunan UDA, Jalan Pantai Bharu, K. Lumpur. Sebelum itu, pejabat tersebut beroperasi menerbitkan majalah kartun GILA-GILA. Tetapi saya ambil-alih selepas CESB berpindah ke bangunan baru di Bangsa Utama.
Dibantu oleh seorang kerani, Siti Hawa Paiman, seorang pelukis grafik, Rosli Abd. Hamid dan tiga orang penyumbang rencana, Sazili Yusof bertindak selaku Editor Teknik, Banni Ali selaku Editor Bersekutu dan Elias Hj. Idris sebagai khas, maka SENSASI Bil.1 berjaya menemui peminat-peminat kereta/motor di seluruh tanah air pada bilan Ogos 1988.
Nanti kita sambung balik kisah-kisah di Jalan Pantai Bharu itu. Sekarang saya ingin kongsikan rencana saya ‘Ekzos’ dalam SENSASI yang saya temui malam tadi.
Tajuk rencana, ‘Kemajuan Pengaruhi Fikiran’.
REMAJA kini merupakan golongan beruntung. Kemajuan ekonomi dan perdagangan negara mempengaruhi cara hidup dan pemikiran mereka. Mereka mempunyai banyak peluang untuk menikmati jentera dan barangan berteknologi canggih. Peubahan besar ini membawa hikmat yang bukan sedikit.
Tidak seperti penulis dulu. Duduk terperosok di kampung. Mandi air telaga, api guna pelita. Pagi butan kena mandi dengan yang bukan main sejuknya. Menggigil-gigil sampai bibir kebiru-biruan dibuatnya. Ketika membaca buku atau al-Quran di waktu malam, lubang hidup naik hitam dek jelaga. Mata pula terkunang-kunang bantai mengantuk semacam.
Hiburan boleh dikatakan tak ada. Paling hebat cuma radio kayu dengan suara serak-serak basah. Ataupun paling canggih, alat pemutar piring hitam yang serombongnya sebesar belalai gajah. Yang berpusing menginsut-insut. Hidup segan mati tak mahu.
Sesekali bila hujung bulan, turun ke bandar tengok wayang cerita Melayu. Itupun setelah habis jual getah keping, getah sekerap, ayam dan telur di reban.
Mahu ke bandar bukan main perit. Kalau tidak jalan kaki kena naik basikal. Bas dan teksi sapu setahun satu baru jumpa.Basikal pula bukan ringan macam sekarang yang boleh angkat pakai jari telunjuk. Punyalah besar, punyalah berat, kalau terhempap pada budak dua tiga tahun umurnya, mahu demam tak kebah.
Paling hebat pun tengok trak askar British dan kereta kebal. Mereka gemar sangat berkhemah di hujung kampung. Kita orang suka sakan kalau kereta kebal dia orang yang beroda besi itu terbenam di tanah gambut. Berkampung mereka berminggu-minggu dibuatnya. Kenyang budak-budak kampung makan makanan dalam tin yang diimport dan rokok. Bergaya sakan.
Bila api eletrik masuk kampung, barangan eletrik mula berkembang biak. Tetapi ketika itu tidak semua orang yang mampu. Mahu menekan suis radio atau TV pun terketar-ketar. Takut meletup.
Tetapi sekarang lain. Anak muda boleh rasa segalanya. Basikal kecil pun harga sampai beribu ringgit. Itu belum bermacam-macam permainan komputer dan video. Keret-kereta mainan pula boleh jalan sendiri dan dikawal dari jauh. Tidak payah tolak-tolak sodok tanah macam dulu. Sekarang segalanya mudah, cepat didapati dan menyeronokkan.
Bila sudah jemu boleh kebas kereta emak bapa, abang atau kakak. Motosikal pun begitu juga. Berderum ke sana, berderum ke sini. Tidak payah lagi bayar cukai jalan, ansuran bulanan dan insurans. Bahagia semedang. Bila menghenjut, tahu sajalah anak muda, pedal minyak tentu rapat habis sampai ke lantai. Nasib baik lantai besi. Kalau tidak main brek dengan kaki.
Lihat saja pemuda belasah tahun memandu kereta dan motosikal. Kalau motor kapcai, boleh celah sampai lubang cacing. Kalau van dengan kereta tidak usah ceritalah. Terbang duduk bukan perangai burung puyuh saja.
Share on FacebookSebab itulah gamaknya di negara-negara terlalu maju serba-serbi, insurans kereta motor untuk remaja mahal. Lebih mahal dari kaum veteran punya. Sebabnya mudah, anak muda memang tidak sayang nyawa. Tapi orang tua atau warga tua takut mati. Harta banyak weh! – Zainal Buang Hussein.
Itulah coretan rencana dari majalah SENSASI yang temui sebagai renungan kita bersama. Insya-Allah terjumpa keluaran lain nanti, saya akan kongsikan dengan kalian semua.





